Soalan Lazim (FAQ) - Hukum Hakam Zakat
Boleh dan sah diberikan atas asnaf amil, hamba mukaatab, berhutang dan berperang. Dibenarkan dan sah memberi zakat sekiranya mereka itu termasuk daripada golongan asnaf yang boleh menerima zakat seperti orang yang berhutang, amil, fi sabilillah dan selainnya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:
Para Ashab Syafie’yyah menyebut, dan diharuskan memberi (zakat) kepada anak dan bapanya daripada bahagian golongan amil zakat, al-mukatibin (golongan dalam perjanjian), golongan yang berhutang dan golongan yang berperang apabila memiliki sifat-sifat tersebut. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/229)
Selain itu, di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, sekiranya mereka (ahli keluarga) bukan daripada golongan fakir atau miskin, seperti golongan berhutang atau musafir, orang yang menanggung nafkah mereka dibenarkan memberi zakat harta kepada mereka sebagai golongan yang disifatkan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi'e, 2/65).
Pemberian zakat kepada orang bukan Islam adalah dilarang sama sekali menurut pandangan Imam Syafie. Begitu juga dengan alim ulama' feqah dalam Mazhab Syafie, kesemuanya menyatakan pendapat yang serupa termasuklah Imam Al-Syirazi dan Imam Nawawi.
Walau bagaimana pun ada juga ulama' yang membenarkan pemberian zakat kepada non-Muslim kerana ia termasuk dalam golongan ‘Muallaf Qullubuhum’, iaitu mereka yang ingin dijinakkan hati mereka. Menurut pendapat mereka, peruntukan ini termasuklah mualaf dan mereka yang masih belum memeluk Islam.
Antara ulama' yang menyatakan keharusan memberikan zakat kepada orang bukan Islam ialah seperti Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Dr. Abd Karim Zaidan dan Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar.